Thursday, December 14, 2023

NILAI ETIKA KERJA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

                                                                             HOME


1. Amanah (Trust)
Seorang warga pendidik hendaklah mempunyai sifat bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya. Justeru itu, ia mestilah menjalankan tugas yang diberi dengan penuh tanggungjawab tanpa penyelewengan dan cuai. Seorang pendidik mempunyai sikap jujur dan setia kepada organisasi tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan. Ia menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dan menyiapkan tugas dalam tempoh yang ditetapkan serta tidak menggunakan masa kerja untuk urusan peribadi. Seorang guru juga hendaklah berdisiplin serta mengawal diri dan tidak melakukan sesuatu kerja yang membolehkan ia hilang kepercayaan orang lain terhadap dirinya. Bertanggungjawab melaporkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa merupakan satu sifat amanah yang amat dituntut.

2. Benar (Truth)
Seseorang guru mestilah mempunyai niat dan perbuatan yang ikhlas serta benar. Ia mempunyai niat yang baik dan jujur dalam melakukan sesuatu pekerjaan, tanpa niat yang tersembunyi atau pun mengharapkan balasan. Guru mestilah bercakap benar dan menepati janji. Ia seharusnya bersedia untuk mempelajari atau menerima nasihat orang lain dengan tidak bersikap sombong atau angkuh. Seorang guru juga mesti memberi dan menerima arahan yang jelas dan tepat serta tidak mengelirukan. Ia boleh berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakaran untuk kejayaan bersama.

3. Bijaksana (Thoughtful)
Guru hendaklah menggunakan pemikiran dengan bijaksana dalam membuat
keputusan dan tindakan sesuai dengan masa serta keadaan. Ia haruslah menggunakan seluruh potensi, keupayaan dan kepakaran untuk menjayakan sesuatu tugas dengan cemerlang dan tidak mengambil jalan mudah. Guru mestilah berusaha menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dan berkualiti serta sentiasa mempertingkatkan ilmu, kepakaran dan profesionalismenya. Ia juga mestilah mempunyai fikiran yang rasional serta pertimbangan yang saksama dalam menyelesaikan sesuatu masalah tanpa mengikut perasaan dan emosi.
4. Bersyukur (Thankful)
Guru hendaklah mempunyai perasaan dan perlakuan yang menghargai nikmat  dan pemberian yang diterimanya tanpa menganggap kejayaan sebagai hak dirinya. Ia mestilah bersedia memberi pengiktirafan kepada mereka yang berjaya tanpa sebarang prasangka, dendam atau menabur fitnah. Seorang guru mempunyai sifat yang tenang dalam menghadapi masalah serta rela menerima kegagalan dan tidak mudah berputus asa. Ia seharusnya berpuas hati dengan nikmat yang diperolehinya seperti ganjaran yang diterima dan kemudahan yang disediakan.

5. Dedikasi (Dedication)
Seorang guru hendaklah berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga secara berterusan dalam menghasilkan kerja yang berkualiti. Maka, ia seharusnya bekerja tanpa jemu dan bosan serta bersedia untuk menerima tugas dengan tidak mencari helah. Dia sanggup berkorban demi kepentingan perkhidmatan, tekun, rajin dan bersikap positif dalam melaksanakan tugas dengan mendapat hasil yang berkualiti. Ia mestilah seorang yang sabar, bertanggungjawab, teliti, ceria, tidak cuai atau merungut dalam menjalankan tugas.

6. Ikhlas (Sincere)
Seseorang guru mestilah berhati suci dalam menunaikan tanggungjawab untuk menghasilkan kerja yang terbaik tanpa mengharapkan ganjaran. Dia menjalankan tugas semata-mata untuk mencapai matlamat sekolah, bukan kerana pangkat, kedudukan atau mendapat perhatian orang lain. Seorang guru dapat memberi layanan yang baik, tanpa mengira pangkat, status atau kedudukan dan tidak bersikap pilih kasih dalam menjalankan tugas. Ia haruslah bersedia menerima teguran dan kritikan dengan hati dan fikiran yang terbuka. Seorang guru juga seharusnya saling hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa sebarang kepentingan diri.

7. Penyayang (Caring)
Seorang guru mestilah menghargai dan mengambil berat terhadap pelanggan. Dia mempunyai sifat pemaaf dan penyayang, tidak sombong dan suka meninggi diri. Guru seharusnya menganggap setiap orang mempunyai harga diri yang perlu dihormati tanpa sebarang prasangka buruk. Ia bersifat bertimbang rasa dan suka mengambil berat dalam melaksanakan tugas. Menjadikan sekolah sebagai sebuah keluarga besar yang penuh kemesraan serta bersifat simpati dan empati dalam menjalankan tugas seharian.


No comments:

Post a Comment

LANGKAH BERMAIN PERMAINAN RODA PUSING

HOME Ahli kumpulan perlu menyediakan permainan roda pusing Peserta harus memutarkan roda pusing untuk mendapat soalan Ikut warna kertas yang...